Mayat 30 tahun tak reput
KANGAR: Tiga penggali kubur tergamam selepas menemui mayat lelaki dipercayai berusia kira-kira 30 tahun yang tidak reput ketika urusan pengebumian jenazah seorang wanita di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka di sini, pagi semalam.
Malah, mayat lelaki terbabit didapati lengkap dengan kain kafan yang masih dalam keadaan baik dan tidak terjejas walaupun kerandanya sudah hancur.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bakau, Ismail Hashim, berkata usia mayat itu berdasarkan keranda kayu yang sudah pun reput ketika kubur itu ditemui.
Menurutnya, kubur itu ditemui penggali kubur, Desa Sulaiman, 74, bersama dua rakannya, Mohd Hafiz Abdan, 20, dan Mohd Azlisham Mat Taib, 30, ketika kerja penggalian liang lahad dilakukan, kira-kira jam 11.30 pagi.
“Seluruh tapak kubur ini sudah dua kali ditambun dengan tanah. Kali terakhir dilakukan, hampir 10 tahun lalu. Berdasarkan faktor itu dan melihatkan keranda yang sudah hancur, saya percaya mayat itu berusia kira-kira 30 tahun,” katanya.
Desa berkata, mayat berkenaan ditemui ketika dia bersama dua rakannya menggali liang Zaleha Murad, 53, yang meninggal dunia kerana kencing manis dan jantung, malam kelmarin.
“Oleh itu, pengebumian arwah Zaleha agak lewat sedikit kerana saya dan rakan perlu menguruskan mayat tidak reput itu untuk dikebumikan semula. Daripada pengamatan saya, mayat lelaki itu dikebumikan pada 1970-an,” katanya.
Katanya, sebelum kerja mengorek liang lahad, mereka sudah mendapatkan persetujuan waris arwah Zaleha untuk menanda tempat kosong dan memulakan kerja penggalian di Tanah Perkuburan Tok Paduka, kira-kira 9.30 pagi.
“Kira-kira dua jam penggalian, Mohd Azlisham merasakan sesuatu dan terkejut apabila menemui mayat tidak reput yang masih berkain kafan hingga menyebabkan kerja mengorek yang hampir selesai terpaksa dihentikan.
“Mohd Hafiz membuka tali yang mengikat kain kafan dan mendapati kulit serta isi masih terlekat pada tulang seperti orang yang masih hidup sebelum mengikat semula kain kafan. Paling menakjubkan mayat berkenaan tidak berbau atau dimakan ulat.
“Difahamkan, jenazah sebegini adalah di kalangan mereka yang beriman dan kuat beribadat,” katanya ketika ditemui selepas urusan pengebumian jenazah Zaleha di tanah perkuburan berkenaan.
Desa berkata, urusan pengebumian Zaleha terpaksa ditangguhkan beberapa jam bagi membolehkan pihaknya mengorek liang lahad baru di bawah kubur yang digali itu untuk mengebumikan semula jenazah tidak reput itu.
Desa berasal dari Kampung Bakau berkata, ini kali pertama dia melihat mayat dalam keadaan sempurna berusia puluhan tahun sejak lebih 30 tahun lalu.
“Ia sukar ditemui. Berdasarkan pengalaman, mayat akan dimakan ulat selepas tujuh hari dikebumikan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan jenazah terbabit adalah penduduk kampung berhampiran Tok Paduka.
Mohd Hafiz pula berkata, dia melihat jelas wajah mayat lelaki tidak reput itu yang masih dalam keadaan sempurna manakala berkulit sawo matang.
“Secara keseluruhan keadaan fizikal mayat berkenaan masih sempurna ketika saya memberanikan diri membuka ikatan kain kafan untuk melihatnya.
“Kerandanya sudah hancur dan kami menggunakan sekeping papan menutup semula liang lahad yang baru dikorek untuk menyimpan semula mayat berkenaan,” katanya.
Sumber Harian Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan